da diana dream's

Oct 28, 2010

: : DISIPLIN : :



Bukan sedikit harga untuk segulung ijazah idaman hati. Bukan percuma memiliki ijazah impian sanubari. Bukan pula setahun jagung masa diambil bagi memperolehi. Bukan, ini bukan murahan nilainya, ini bukan percuma milikinya, ini bukan sekejapan perolehinya. Tanpa disiplin diri, mana mungkin hajat duniawi ini akan tercapai. Tanpa yang di panggil disiplin ini, berciciranlah cita- cita yang dilaung sedari hingusan.
erhmmm~
Berkata tentang disiplin, aku bukan seorang yang punyai nilai tinggi untuk sebuah yang dinamai disiplin. Aku bukan si penurut perintah, bukan juga si pengikut arahan. Bukan pula si penekur suruhan. Bukan, itu bukan aku. Tanpa tunggu ibu di muka pintu bilik siraman di pagi- pagi persekolahan tidak bersabunlah aku ke sekolah. Tanpa jegil bulat mata abah di papan tulis berkaki empat di anjung rumah, tak siaplah suruhan kerja lebihan cikgu kelas. Tanpa cubit ketam ibu di peha, tak berangkatlah baju di jemuran. Tanpa jentik lentik tangan si kakak, berkumanlah kuku tak bercepit. Tanpa suruh jerit si abang membingit, tak bangun melihat mentarilah aku di hari- hari santai. Tanpa ngongoi tangis si adik, tak penuhlah susu di botol pintanya. Tanpa tengking pekik Ibu, tak berganjaklah aku terkinja- kinja melompat getah di gelanggang permainan. Tanpa rotan di tangan abah, tak berganjaklah aku di dada peti kaca menyaksi detective conan menghurai kisah biar azan bertalu di corong surau. Tanpa getah paip melibas di belakang badan, tak berhafallah sifir buat kekal di ingatan menjawab peperiksaan.
Aku langsung tidak punyai disiplin diri yang kuat. Langsung tak punya aku akan disiplin. Akulah yang pertama di tahan pengawas si balaci di tapak perhimpunan. Akulah anak yang membawa abah menjejak sekolah untuk di beri kaunseling atas salah laku si anak melanggar atur sekolah. Akulah manusia yang tidak mahu dekat dengan apa yang dinamai disiplin. Bukan salah didikan orang tua. Bukan salah tunjuk abang. Bukan buruk laku si kakak. Bukan jelik perangai teman punya angkara. Bukan. Bukan salah mereka.
Memang aku bukan pengikut arahan, memang aku bukan penurut perintah, memang aku bukan pengakur suruhan. Buruk, hodoh, bangang, bongkak, sial, babi, celaka, anjing, beruk, lotong, bebal...katalah aku apa saja lepas munggil bicara kamu semua. Kerana semua itu memang layak untuk aku si pelanggar aturan.
Melepasi usia mentah, melihat sebenar duniawi, melakar impian mendatang. Aku jadi kalut dengan perilaku kendiri, aku jadi resah mengenang buruk laku, menilai tabiat hodoh milik sendiri aku. Andai bukan esok tarikh akhir serah tugasan, berpeleseranlah aku di alam maya menceduk mimpi, berteman syaitanlah aku mengilai tawa berjenaka bodoh di meja- meja hiburan, bersenang lenanglah aku melayani lena yang syahdu di bantal hingga lencun bersama liur yang basi. Huhhh, itulah aku. Tanpa paksa dan suruh yang dinamai arahan, tak berganjaklah aku bagai paku tak berketuk penukul. Statik tak bergerak menyelesaikan yang mahu dipinta.
Diakhir hari terakhir pengkuliahan bagi sesi ini, nahhhh...baru aku disedarkan bab 1 perlu diselesaikan sebelum cuti bermula. Padahal, satu kejadah apapun belum disentuh, belum di usik, belum di kuis, belum di jengah tengok lihat oleh bulat mata milik aku. Bongkak aku hanya melihat sepi kitab- kitab berhabuk di susun rak indah itu. Jangan menangis mengongoi melihat teman sesesi bergaya merakam foto kenangan di puncak dtc. Usah meratap hiba mendengar teman sesesi bergaya mewah menjawat jawatan pegawai di akhiran sebuah pertemuan. Terus lah aku dengan tak punyai disiplin diri. Aragonlah aku dengan tak perlu melihat kejaran masa di belakang seinci cuma. Lepak lah aku di kedai mamak biar dinihari menghimpit pagi, biar berembun ubun- ubun merayau mencari fantasi indah. Biar kan aku begitu. Biar sampai mampus duduk aku itu. Biar sampai celaka hidup aku mendatang. Kerana durjana itu, aku sendiri yang undang. Selamat terus bermaharaja lela kemalasan. Tak payah pergi ke ayat "pendahuluan" wahai si jari montok, teruslah aku bersosial di alam maya.

: : datanglah wahai rajin : :
: : jemput kemari wahai disiplin : :

No comments:

Post a Comment