da diana dream's

Jun 12, 2011

:: Pendoa Tegar ::


Melihat lorong di permulaan jalanan, melihat diri tergapai resah. Masih sama seperti dahulu, sama di permulaan jalanan, sama seperti di persimpangan keliruan, sama juga di akhir ceritera garisan. Masih sama seperti dahulu, indah liku bersama keringat air mata dan tawa bahagia.

Sehingga kini, biar masih lemah iman, masih kurang tauhid kepada yang SATU itu, dan kadang kala masih juga terpesong akidah. Entah dari sudut mana kurang didikan dan asuhan guru agama. Diri sentiasa kurang segalanya. Namun, biar kurang iman di dada, rasa syukur sentiasa bersarang disanubari.

Syukur, menadah tangan menghadap ilahi. Dilahirkan sempurna,punya keluarga sempurna, dan diberi didikan sempurna. Sehingga ada yang melihat lurus dan terus jalan hidup di setiap lorong milik aku, tanpa ada lopak bersama hanyir longkang membusuk. Melihat dari sudut mata kasar, ya. Mengakui kesempurnaan segala milik aku. Tersenyum tanpa perlu paksa dengan sumbing di bibir.

Biar tak miliki otak yang genius, namun masih bisa menjejak kaki ke menara varsiti. Biar tidak punya aset di bursa saham, namun masih ada yang menyayangi. Biar tak miliki wajah setampan Erra Fazira dan bentuk tubuh segagah Fasha Sanda, namun masih ada yang sudi memuji.

Syukur, bila mulai tidak lagi membebani mereka di sekeliling milik aku. Malah, berazam mencurah bakti semampu mungkin buat kesenangan dan kesejahteraan mendatang. Syukur, bila berakhir sessi terakhir pembelajaran, tidak aku perlu menganggur, mengharap duit gaji abah buat membeli pad dikala bulan menjelma. Tak perlu mengharap ehsan along buat membeli seluar idaman hati. Tak perlu menagih simpati angah bila liur meleleh mengidam chicken chop mahupon spageti. Dan ibu, tak perlu lagi bersengkang mata menjahit kebaya mahupun kurung moden tempahan pelanggan buat penuhi selera serakah si anak durjana ini. malah, duit tabung anje tak lagi kontang dipinjam buat topap bulanan.

Namun, memulakan hidup sebagai dewasanya insan tidak semudah angan di bangku sekolah dahulu. Mengorak langkah sebagai dewasanya insan tidak seindah mimpi di malam-malam dingin. Menjalani hidup sebagai dewasanya insan tidak semanis impian si gadis menanti putera idaman berkereta kuda datang melamar.

Pengharapan dalam memulakan perjalanan sebagai seorang dewasanya insan, agar pendoa tegar yang acap mengaminkan kesejahteraan di akhir sujud solat masih terus berdoa untuk aku. Agar jalan dan lorong milik aku masih nampak lurus tanpa adanya lopak bersama pekat becak memercik wajah. Agar lorong jalan hidup disinari kelam cahaya bersama teguhnya iman di dada. Agar diri tidak lagi lemah dalam akidah mencari redha ilahi. Agar hati tidak goyah seperti apa asalnya impian dan cita-cita di hati.

Duhai pendoa tegar, teruslah berdoa dan mengaminkan sejahtera lorong jalan hidup ini. Kerana usaha yang sedikit ini sering ampuh menongkah liku perjalanan bersama doa kalian, wahai pendoa tegar.

:: pendoa tegar ::

No comments:

Post a Comment